Fadhilat Tabligh BAB 1 AYAT-AYAT AL-QURAN TENTANG TABLIGH AYAT 6
3.0 FADHILAT TABLIGH, 3.1 AYAT-AYAT AL-QURAN TENTANG TABLIGH Add commentsAYAT 6
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.
(Ali-‘Imran: 110)
Keterangan:
Terdapat banyak hadith yang menyatakan dengan jelas bahawa orang Islam adalah semulia-mulia manusia dan umat Muhammad adalah semulia-mulia umat. Dalam ayat-ayat al-Quran sendiri pun perkara ini dejelaskan di beberapa tempat, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Dalam ayat ini pun gelaran ‘sebaik-baik umat’ telah diberikan oleh Allah Subahanahuwa Taala kepada kita dengan menerangkan syaratnya iaitu menerusi amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar.
Para ahli tafsir menyatakan bahawa dalam ayat yang mulia ini, amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar disebut dahulu daripada iman sedangkan iman adalah asas bagi segala kebaikan. Tanpa iman tidak ada sebarang kabaikan pun yang dapat diterima. Sebabnya ialah iman merupakan satu perkara yang dimiliki juga oleh umat-umat yang terdahulu. Sebaliknya keutamaan khusus yang menjadikan umat Muhammad saw mulia dan mengatasi pengikut para nabi yang dahulu tidak lain dan tidak bukan adalah amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar, yang merupakan tanda keistimewaan umat ini. Oleh kerana tanpa iman tiada satu kebaikan pun akan diterima maka iman disebutkan juga di akhir ayat ini sebagai satu syarat. Sedangkan, maksud sebenar ayat ini hanya untuk menyatakan keutamaan amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar. Oleh kerana amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar merupakan perkara yang diberi perhatian untuk disebutkan maka amalan tersebut disebut terlebih dahulu dalam susunan ayat tersebut. Maksud bahawa amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar adalah tanda keistimewaan umat ini ialah amalan tersebut harus diberi perhatian yang khusus. Menjalankan usaha tabligh sambil lewa adalah tidak mencukupi. Ini adalah kerana amalan ini (dakwah) juga wujud di kalangan umat yang terdahulu, sebagaimana disebut dalam ayat 165 surah al-‘Araf dan lain-lain. Oleh kerana kedudukan yang istimewa, usaha ini menuntut perhatian yang khusus. Oleh itu, sibukkanlah diri dengan kerja dakwah sebagai satu tugas tetap, sama seperti tugas-tugas agama yang lain.

Recent Comments