Fadhilat Tabligh BAB 2 HADITH-HADITH TENTANG TABLIGH HADITH 3
3.0 FADHILAT TABLIGH, 3.2 HADITH-HADITH TENTANG TABLIGH Add commentsHADITH 3
Daripada Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW telah bersabda,
“Kemerosotan Bani Israil bermula demikian ini: Apabila seorang lelaki di kalangan mereka bertemu dengan lelaki yang lain maka dia berkata, “Wahai fulan takutilah ALLAH Subhanahu-Wataala dan tinggalkanlah perkara yang kamu lakukan kerana perkara tersebut tidak halal bagi kamu.” Selepas itu dia bertemu lagi pada masa yang lain sedangkan lelaki tersebut masih lagi belum berubah. Keadaan yang demikian tidak pula menghalangnya daripada menjadi rakan yang makan, minum dan duduk bersama. Apabila mereka melakukan demikian maka ALLAH Subhanahu-Wataala telah menyatukan sebahagian hati mereka dengan sebahagian yang lain (hati-hati orang yang taat pun telah dijadikan sebagaimana keadaan hati-hati penderhaka). Kemudian Baginda SAW membaca ayat berikut :
لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨) ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩) تَرَىٰ ڪَثِيرً۬ا مِّنۡهُمۡ يَتَوَلَّوۡنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْۚ لَبِئۡسَ مَا قَدَّمَتۡ لَهُمۡ أَنفُسُہُمۡ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمۡ وَفِى ٱلۡعَذَابِ هُمۡ خَـٰلِدُونَ (٨٠) وَلَوۡ ڪَانُواْ يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلنَّبِىِّ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِ مَا ٱتَّخَذُوهُمۡ أَوۡلِيَآءَ وَلَـٰكِنَّ ڪَثِيرً۬ا مِّنۡہُمۡ فَـٰسِقُونَ
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79) Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (Neraka). (80) Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.
(al-Maidah: 78-81).
Selepas itu Baginda SAW telah bersabda dengan begitu tegas, “Demi ALLAH, kamu hendaklah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta menahan orang zalim daripada kezaliman dan bawalah dia ke jalan yang benar.”
(Dipetik dari kitab at-Targhib, hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi.)
Keterangan
Dalam satu hadith yang lain diberitakan bahawa Rasulullah SAW sedang bersandar pada satu bantal. Tiba-tiba Baginda SAW pun duduk lalu bersabda dengan begitu bersemangat, “Demi ALLAH yang nyawaku di tanganNya, kamu tidak akan mendapat keselamatan selagi kamu tidak mencegah penzalim daripada kezalimannya.” Dalam satu hadith lagi Nabi SAW telah bersumpah dengan nama ALLAH Subhanahu-Wataala kemudian bersabda, “Teruskanlah amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar dan cegahlah penzalim daripada kezalimannya dan teruslah mengajak manusia ke jalan yang benar. Jika tidak, hati-hati kamu akan menjadi sama seperti hati-hati mereka (Bani Israel) dan kamu akan dilaknat sebagaimana mereka dilaknat.” Baginda SAW telah membaca ayat-ayat al-Quran untuk memperkukuhkan sabdaannya bahawa salah satu sebab mereka dilaknat ialah kerana mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka.
Dewasa ini adalah dianggap satu kebajikan jika seseorang itu bermanis muka dengan semua orang. Bercakap mengikut kesesuaian tempat dan keadaan dianggap sebagai satu kebijaksanaan dan sifat akhlak yang tinggi. Kelakuan ini adalah salah sama sekali. Sekiranya amr-bil-ma’aruf tidak nampak akan membuahkan hasil maka mendiamkan diri adalah sekadar yang diharuskan (dengan syarat tidak menyokong kemungkaran yang sedang berlaku). Sebaliknya jika amr-bil-ma’aruf mungkin boleh memberi manfaat - misalnya bersama anak-anak, orang di bawah jagaan, kawan atau pekerja maka berdiam diri bukanlah akhlak yang baik. Malah orang yang berdiam diri dalam keadaan begini adalah bersalah dari apa-apa segi sekali pun sama ada di sisi syariat atau pun pada pandangan umum.
Hazrat Sufian Thauri rah. Pernah berkata, “Seorang yang sangat disayangi oleh jirannya dan dipuji-puji oleh kaum kerabatnya pada kebiasaannya (kemungkinan besar) dia adalah yang cuai (dalam melaksanakan amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-mungkar)”.
Ada banyak hadith yang memberitahu bahawa apabila sesuatu maksiat dilakukan secara sembunyi maka akibatnya terbatas kepada orang yang melakukannya sahaja. Sebaliknya, apabila sesuatu maksiat itu dilakukan secara terang-terangan sedangkan orang ramai mampu mencegahkan maksiat tersebut tetapi masih tidak berbuat demikian maka akibatnya akan dirasai oleh semua orang. Kini setiap orang renungkanlah diri masing-masing, betapa banyak kemaksiatan yang berlaku dalam pengetahuannya dan dia mampu untuk mencegah tetapi dia masih tidak menghiraukan kemaksiatan itu dan tidak mengambil kisah dan tidak mengendahkan. Kezaliman yang lebih dahsyat daripada itu ialah apabila ada mana-mana hamba ALLAH Subhanahu-Wataala yang berusaha mencegah sesuatu maksiat maka dia ditantang dan dituduh sebagai orang yang berfikiran sempit. Bukan hendak diberi bantuan sebaliknya terus menentang. ALLAH Subhanahu-Wataala berfirman:
وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَىَّ مُنقَلَبٍ۬ يَنقَلِبُونَ
“Dan (ingatlah), orang yang melakukan sebarang kezaliman akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.” (as-Syu’ara: 227)

Recent Comments