Fadhilat Tabligh BAB 2 HADITH-HADITH TENTANG TABLIGH HADITH 1

3.0 FADHILAT TABLIGH, 3.2 HADITH-HADITH TENTANG TABLIGH Add comments

HADITH 1

Hazrat Abu Sa’id al-Khudri ra berkata bahawa saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya dan kalau itupun dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah iman yang selemah-lemahnya.” 

(Dipetik dari kitab at-Targhib, riwayat Muslim, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah.)

Keterangan

Terdapat dalam hadith yang lain, “…sesiapa yang tidak mampu mengubah dengan lidahnya hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dengan itu dia sudah terlepas daripada tanggungjawab tersebut dan itu adalah iman yang selamah-lemahnya.” Dalam satu hadith yang lain pula dinyatakan, “Sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh (untuk mengubah) dengan tangannya, dia adalah seorang mukmin dan sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dengan lidahnya, dia adalah seorang mukmin dan sesiapa yang bersungguh-sungguh dengan hatinya, dia adalah seorang mukmin dan tiada darjah iman yang lebih rendah daripada itu.”

Berkenaan dengan tajuk ini, banyak hadith Nabi SAW telah dinukilkan. Sekarang cubalah kita renung berapa ramaikah di kalangan kita yang sedang beramal dengan hadith ini? Apabila melihat apa-apa saja perkara yang dilarang oleh syarak sedang dilakukan adakah kita terus berusaha mengubah dengan tangan atau mengatakan perkara itu haram dan buruk dengan lidah dalam usaha untuk mengubahnya? Atau sekurang-kurangnya setaraf dengan iman yang selemah-lemahnya, kita cuba mengubah dengan hati ataupun hati menjadi gelisah melihat kemungkaran itu. Renungkanlah perkara ini ketika bersendirian. Apakah yang sepatutnya berlaku dan sebaliknya apa pula yang sedang berlaku?

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image

Host by BlogMas - Theme by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Log in