FADHILAT SOLAT
MUKADIMAH
Pada zaman ini keadaan umat yang tidak mengambil endah dan tidak memberi perhatian terhadap agama sudah jelas dan tidak perlu diterangkan lagi. Bahkan solah pun sangat dilalaikan dan diabaikan. Sedangkan solah merupakan suatu ibadat yang terpenting dan disepakati oleh seluruh ulama bahawa selepas iman, solah merupakan amalan yang lebih afdal daripada seluruh ibadat-ibadat fardhu yang lain dan solah juga merupakan amalan yang pertama sekali akan disoal pada hari kiamat. Yang lebih menyedihkan lagi ialah tiada suatu suara pun yang kedengaran untuk menarik perhatian umat ke arah agama dan tidak ada apa-apa bentuk dakwah pun yang wujud. Berdasarkan pengalaman, saya terfikir untuk mengatasi masalah ini satu usaha perlu dibuat supaya sabdaan-sabdaan Rasulullah saw dapat disampaikan kepada orang ramai. Sungguhpun terdapat pelbagai masalah yang cuba menghalang dan melemahkan saya namun saya masih menaruh harapan dan yakin bahawa mereka yang berfikiran bersih serta tidak menentang agama, Insya-ALLAH pasti akan terkesan dengan sabdaan-sabdaan yang suci dan diharap juga mereka akan mendapat manfaat daripada keberkatan baginda saw dan sabdaannya. Lantaran dorongan daripada beberapa orang yang mukhlis serta harapan daripada kawan-kawan, menambah keyakinan bahawa usaha ini akan membawa kejayaan. Justeru, dalam kitab ini saya bentangkan beberapa terjemahan hadith yang berkaitan dengan solah. Kitab saya yang berkenaan dengan tabligh disebarkan dengan nama “Fadhilat Tabligh”. Oleh itu saya namakan kitab ini “Fadhilat Solah” dan menjadikan kitab ini sebagai kitab kedua dalam siri kitab-kitab kelebihan amal.
Berhubung dengan solah, secara umum orang Islam terbahagi kepada tiga golongan. Pertama ialah golongan yang langsung tidak menghiraukan solah. Kedua ialah golongan yang menunaikan solah, tetapi tidak mementingkan solah dengan berjemaah dan ketiga ialah golongan yang bersolah serta mementingkan solah dengan berjemaah, tetapi masih menunaikan solah dengan sambil lewa dan tidak memberati adab-adab bersolah. Justeru, kitab ini dibahagi kepada tiga bab yang bersesuaian dengan tiga golongan di atas. Dalam setiap bab diutarakan hadith-hadith nabi saw, terjemahan dan keterangan hadith-hadith tersebut. Namun, terjemahan yang jelas dan mudah difahami lebih diutamakan daripada terjemahan lafaz ke lafaz. Oleh kerana ramai juga di kalangan para alim ulama yang menyeru manusia ke arah solah maka disamping matan hadith, semua rujukan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan hadith yang diperlukan oleh alim ulama ditulis di bawah matan hadith dalam bahasa arab. Sungguhpun perkara ini tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada orang awam namun kadang kala diperlukan juga oleh mereka yang menjalankan kerja tabligh.
MUHAMMAD ZAKARIYYA KANDHALAVI
MAZAHIR ‘ULUM
SAHARANPUR
7 MUHARRAM 1358

Recent Comments